Apa Itu Stress?
Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah
mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang
disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” (Dr. David B. Posen
(Lifestyle Counselor and Psychotherapist) ; Stress) ‘Bebanan’ ini boleh
wujud di dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup
seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya. Ada tekanan
perasaan yang baik lagi positif dan ianya dinamakan sebagai “eustress” dan ada
pula yang buruk lagi negatif dan ia dinamakan sebagai “distress.”
Tekanan yang positif amat kita perlukan di dalam hidup kita untuk
menjadikan kita lebih berhati-hati, terangsang, kreatif dan lebih memberikan
tumpuan dan perhatian kepada apa yang sedang kita lakukan. Sebenarnya banyak
penemuan dan ciptaan oleh saintis-saintis telah berlaku di saat mereka tertekan
dengan masalah-masalah tertentu. Contohnya, ketika Alexander Graham Bell sedang
berusaha untuk membantu tunangnya, Mable Hubbard, yang telah hilang
pendengarannya, beliau telah berjaya mencipta telefon yang telah meledakkan
sistem telekomunikasi pada hari ini. (Stephen
C. Phillips, The Ten Laws Of Success)
Apakah
Yang Berlaku Ketika Stress?
Ketika stress, badan kita akan
mengeluarkan satu hormon rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran
darah kita. Hormon ini bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan
menyebabkan beberapa perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan
untuk melindungi kita. Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung
bertambah laju dan tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah
kepada otak, otot dan jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan
bertambah (untuk memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang
akan lebih laju (untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan
begitulah seterusnya. Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari
dengan keperluan tubuh kita ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau
tekanan berpanjangan di dalam hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk
mengurusnya, ia akan bertukar menjadi ‘distress’ yang boleh menyebabkan
penyakit-penyakit tertentu menimpa kita.
Apakah
Tanda-Tanda / Gejala Umum Stress
Manifestasinya adalah berbagai-bagai
dan ianya boleh dikategorikan kepada empat bahagian :
Fizikal : Keletihan, pening kepala, susah tidur,
sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan jantung
yang kuat, sakit dada, meloya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.
Mental : Hilang tumpuan, mudah lupa, susah untuk membuat
keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh berjenaka.
Emosi : Risau, sentiasa bimbang, sugul, marah, mudah
kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas baran.
Perangai : Keluh-kesah, lahir tabiat seperti menggigit kuku
dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang berlebihan, merokok, minum arak,
menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan menyalahkan orang lain serta
bertindak agresif.
Masalah Kesihatan Dan
Penyakit-penyakit Yang Berpunca Dari Stress
Sakit jantung dan angin ahmar
(stroke). Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah dan
bahan-bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol yang
akan menutupi saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan
darah di samping memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan
perubahan-perubahan yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin
ahmar berlaku. (Health Education Associates, 1996; Stress and Heart Disease)
Insomnia atau susah tidur.
Stress boleh menyebabkan masalah susah tidur dan susah
tidur boleh menyebabkan stress, satu pusingan yang amat membinasakan. Di
Amerika saja, jumlah mereka yang diserangi masalah ini menghampiri jumlah 36
hingga ke-62 juta orang. (Jeff Davidson, 1977; The Complete Idiot’s Guide To
Managing Stress.
Kencing
manis.
Kesugulan
dan tekanan hasil dari stress akan menambahkan kadar gula di dalam darah dan
ini boleh membawa kepada penyakit kencing manis atau menerukkan keadaan pesakit
yang telahpun mengidapnya. (Carol E. Watkins; Northern County Psychiatric Associates;
1998)
Gastrik
dan ulser.
Penyakit-penyakit
pada sistem penghadaman seperti gastrik dan ulser juga mudah berlaku keatas
seorang yang mengidap stress disebabkan oleh peningkatan pengeluaran asid
ketika diserangi stress, terutamanya, jika ia menyebabkan kemurungan dan
kemarahan yang bersangatan. (Ballieux, R.E., 1984; Breakdown in human
adaptation to stress)
Infeksi
atau jangkitan kuman.
Tekanan atau stress juga akan menyebabkan
pengeluaran bahan-bahan ‘catecholamines’ seperti ‘epinephrine’ dan ‘norepinephrine’
ke dalam darah. Bahan-bahan ini berperanan melemahkan sistem pertahanan badan
dan ini sekaligus akan memudahkan kuman-kuman untuk menyerang dan menyebabkan
penyakit-penyakit. (Stress and the Immune System by Hannah Koenker, 1994)
Kajian juga telah menunjukkan bahawa keadaan stress akan meningkatkan peratus
kemungkinan seseorang itu dijangkiti kuman di sekitar 74 ke-90% dan dijangkiti
virus selsema di sekitar 27 ke-47%. Stress juga akan memudahkan virus yang
tidak aktif menjadi aktif semula. (Brosschot, J.F., Benschop, R.J., Godaert,
G.L.R., Olff, M., De Smet, M., Heijnen, C.J., Ballieux, R.E., 1994; Influence
of life stress on immunological reactivity to mild psychological stress:
Psychosomatic Medicine)
Asthma.
Ketika
menghadapi stress, pesakit yang mengidap lelah akan mudah diserangi oleh
penyakit ini disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang menurun ketika itu,
yang akan memudahkan reaksi-reaksi tertentu berlaku di dalam darah yang
akhirnya menyebabkan lelah. (Elliott G.R., Eisdorfer C., 1982; Stress and Human
Health) . Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa stress juga
adalah penyebab kepada beberapa penyakit yang lain seperti darah tinggi, sakit
sendi (rheumatoid athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel
syndrome and ulcerative colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith,
UTC School of Nursing; Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter
9)
No comments:
Post a Comment